Wednesday, October 21, 2015

MEMINANG...


Pengertian Meminang
Apabila seorang lelaki benar-benar tertarik dengan sifat-sifat baik seorang wanita serta timbul keinginan untuk berkahwin setelah melihat wanita, kini tibalah masa untuk meminang.
Meminang bermaksud seseorang lelaki menyatakan keinginannya untuk berkahwin kepada wanita yang ingin dikahwininya.[1]

-google image-

Hukum Meminang
1.      Dihalalkan meminang secara tasrih (terus terang) atau ta’ridh (membayangkan):-
a.       Jika perempuan itu bukan isteri orang;
b.      Tidak berada dalam iddah; dan
c.       Bukan perempuan yang haram dinikahi.
2.      Dihalalkan meminang secara ta’ridh (membayangkan):-
a.       Jika perempuan yang ingin dikahwini berada dalam iddah kematian suami; atau
b.      Iddah disebabkan talak bain.
Hal ini berpandukan al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 235:
 Maksudnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang      (Al-Baqarah : 235)
3.      Diharamkan meminang secara tasrih atau ta’ridh selain daripada dua keadaan diatas. Oleh itu haram meminang;
a.       Perempuan yang masih bersuami;
b.      Semua perempuan yang aharam dinikahi sama ada haram untuk selamanya atau haram untuk sementara waktu;
c.       Perempuan yang masih dalam talak raj’ie, kerana masih bergelar isteri dan suaminya berhak untuk kembali rujuk kepadanya.[2]

Maksud pinangan secara tasrih  ( :تصريحterus terang) dan ta’ridh ( :تعريضmembayangkan)
1.      Tasrih  ( :تصريحterus terang):
Lafaz tasrih ialah lafaz yang hanya mempunyai satu tafsiran sahaja iaitu keinginan untuk berkahwin. Lafaz tasrih adalah seperti; “aku ingin mengahwini kamu” atau “selepas habis iddahmu, aku akan mengahwinimu”

2.      Ta’ridh ( :تعريضmembayangkan):
Lafaz ta’ridh ialah lafaz ayang boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran, sama ada sebagai keinginan untuk berkahwin atau sebaliknya, seperti; “awak cantik,” atau “ramai orang sukakan awak” atau seumpamanya.

Haram Meminang Perempuan yang telah Dipinang
Adalah haram meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain sekiranya pinangan tersebut diterima. Tetapi terdapat beberapa keadaan yang dibolehkan iaitu:
1.      Peminangan boleh dilakukan sekiranya lelaki pertama memberikan keizinan kepada lelaki yang kedua untuk meminang.
2.      Sekiranya pinangan lelaki pertama tidak dijawab (tidak diketahui sama ada pinangannya diterima atau tidak), pinangan lelaki kedua adalah diharuskan.
Sekiranya seorang lelaki meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain dan kemudiannya lelaki kedua menikahi perempuan tersebut, akad nikahnya tetap sah. Walaupun begitu dia tetap menaggung dosa atas perbuatannya meminang perempuan yang telah dipinang.[3]
Dalil pengharaman meminang perempuan yang telah dipinang adalah berdasarkan hadis Rasulullah :
وَلاَ يَخْطُبَ الرِّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ ألخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يأْذَنُ لَهُ أللخَاطِبُ.
“Seseorang lelaki tidak boleh meminang seseorang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya (saudara seagama) sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan peminangan) atau dia mengizinkan peminangan itu.”
(Riwayat Bukhari : no. 4848, Muslim : no. 1412), Kitab Fikah Mazhab Syafie, 2002, hal. 4/611-613.

Wali Menawarkan Perempuan Jagaannya kepada Lelaki Soleh dan Bertaqwa
            Wali disunatkan menawarkan perempuan di bawah jagaannya kepada lelaki soleh dan bertaqwa. Ini dicontohi daripada tindakan Nabi Syuib a.s.. Beliau menawarkan anaknya supaya dikahwini Nabi Musa a.s. meyakini sifat amanah dan kesucian Nabi Musa a.s. . Firman Allah Taala dalam menceritakan kisah ini:[4]

Maksudnya : “Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Kita juga mengambil contoh dengan perbuatan Saidina Umar al-Khattab ketika beliau menawarkan anaknya kepada Saidina Abu Bakar. Mereka berdua menolak dan ia dikahwini oleh Nabi .[5]

Melihat Bakal Isteri
            Di antara perkara sunat yang digalakkan oleh Islam ialah seseorang lelaki melihat perempuan yang ingin dikahwininya sebelum peminangan. Ini disunatkan jika lelaki tersebut benar-benar berniat untuk mengahwininya dan berharap peminangannya akan diterima. Syarak membenarkan lelaki tersebut melihatnya tanpa dia tidak berhiasa terlebih dahulu. Jika perempuan tersebut berhias, tujuan melihat tidak tercapai.
            Lelaki tersebut boleh melihat bakal tunangnya dua atau tiga kali jika dia perlu melihat keadaan wanita tersebut dengan leih jelas lagi. Ini kerana biasanya, matlamat yang dikehendaki tidak tercapai dengan sekali pandang.
            Abu Hurairah r.a. berkata :
Ketika aku berada bersama Nabi , baginda didatangi seorang lelaki dan memberitahu dia berkahwin dengan seorang perempuan Ansor . Nabi bertanya,: “Adakah kamu telah melihat perempuan itu?” Beliau menjawab: “Tidak.” Nabi bersabda: “ Pergi dan lihatlah perempuan itu kerana sesungguhnya mata orang-orang Ansor itu berbeza dengan mata orang lain ( yang dia mungkin tidak berkenan).”[6]
Wanita juga berhak melihat lelaki jika ingin berkahwin dengan lelaki tersebut supaya dia boleh melihat keadannya dengan lebih jelas  agar tidak menyesal selepas berkahwin. Sesungguhnya perempuan juga tertarik denga beberapa sifat seseorang lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa sifat seseorang perempuan.

Batas-batas Seorang Lelaki Melihat Bakal Isterinya
            Terdapat perbezaan pendapat mengenai bahagian yang boleh dilihat dari wanita yang dilamar. Jumhur ulama berpendapat bahawa seorang pelamar dibolehkan melihat wajahnya dan kedua tapak tangannya saja, kerana bahagian-bahagian tersebut bukan termasuk aurat.
Pendapat berkenaan Melihat Bakal Isteri[7]
1.      Al-Auza'i berpendapat, bahawa dia boleh melihat bahagian-bahagian daging.
2.      Daud az-Zahiri mengemukakan :
"Dibolehkan melihat seluruh bahagian tubuh wanita tersebut."
Yang terakhir ini jelas ditolak kerana bertentangan dengan sebuah ayat dalam surah An-Nur;
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak darinya." (An-Nur: 31)

Bahagian-bahagian yang biasa nampak selain wajah, misalnya dua tapak tangan dan kaki serta yang seumpamanya yang biasa nampak pada wanita di rumahnya, maka terdapat dua pendapat :
Pertama ; tidak diperbolehkan melihatnya, kerana perkara itu merupakan aurat. Bahagian-bahagian tersebut tidak boleh dilihat sebagaimana bahagian-bahagian yang tidak nampak. Abdullah bin Mas'ud pernah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Wanita itu adalah aurat." Kerana yang diperlukan adalah melihat wajah dan bahagian-bahagian lainnya tetap haram untuk dilihat.
Kedua ; dibolehkan baginya melihat bahagian-bahagian tersebut. Imam Ahmad mengatakan, "Dibolehkan untuk melihat bahagian-bahagian yang diperlukan untuk tujuan perkahwinan seperti tangan, badan dan lain-lain." Abu Bakar, seorang pengikut mazhab Hanbali, mengatakan, "Pada saat melamar, dibolehkan baginya melihat bahagian-bahagian yang sudah biasa terlihat ketika bekerja, seperti: kepala, leher, lengan dan bahagian bawah kedua betis."

Pendapat Jumhur Ulama dan Iman Syafie
Sedangkan Imam Syafie mengemukakan, "Dia hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tapak tangan saja."
Seseorang lelaki tidak diharuskan melihat bakal tunangnya melainkan muka dan tapak tangannya (depan dan belakang). Muka dan tapak tangan adalah anggota zahir seperti yang  difirman oleh Allah Taala dalam suran An-Nur ayat 31.
Hikmat pandangan hanya dihadkan kepada muka dan tapak tangan sahaja ialah kerana muka menunjukkan kecantikan dan tapak tangan memperlihatkan kesuburan badan dan kelembutannya.
Sekiranya seseorang lelaki itu tidak berpeluang melihatnya sendiri, dia boleh menghantar seorang wanita untuk melihat dan menceritakan sifat-sifat wanita tersebut kepadanya. Rasulullah s.a.w pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang wanita dan Baginda s.a.w berkata kepadanya: “Lihatlah kedua-dua ketingnya dan ciumlah bau badannya.”
Difahami daripada hadith di atas, perempuan yang dihantar oleh lelaki untuk melihat bakal tunangnya boleh melihat lebih daripada apa yang boleh dilihat oleh lelaki itu sendiri maka matlamat atau faedahnya tentu lebih banyak lagi.[8]

Sunat-Sunat Meminang
Orang yang meminang atau wakilnya disunatkan berkhutbah sebelum meminang dan sebelum akad. Khutbah dimulakan dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi kerana Rasulullah bersabda:
كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَيُبْدَأُ فِيهِ بِحَمْدِ الله ، فَهُوَ أَبْتَرُ.
Maksudnya: “Semua perkara yang ada nilainya tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Kemudian dia hendaklah berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dan barulah melahirkan keinginannya sambil berkata: “Kami datang untuk meminang anak kamu.”
Wali perempuan juga disunatkan berkhutbah yang dimulai dengan memuji Allah dan berselawat serta berpesan supaya bertaqwa, lalu berkata : “Saya terima pinangan kamu.”
Walaubagaimanapun khutbah sebelum akad nikah lebih ditekankan berbanding khutbah sebelum meminang kerana ianya ia dilakukan oleh para salafussoleh r.a.

Batas Pergaulan di dalam Pertunangan
            Menjadi amalan dalam masyarakat Islam yang jauh dari roh Islam, selepas majlis pertunangan diadakan, pasangan lelaki dan perempuan yang bertunang mula bergaul mesra, berdua-duaan dan berkhalwat. Mereka mendakwa tindakan tersebut membolehkan mereka saling mengenali  dan mengetahui akhlak dan tabiat masing-masing. Sedangkan lubuk hati lelaki tersebut mengakui bahawa dia tidak mampu walaupun sedikit untuk menyingkap hakikat sebenar akhlak tunangnya.
            Ini kerana dia sendiri sentiasa berfikir untuk berpura-pura di hadapan tunangnya bahawa dialah lelaki yang diidan-idamkan dari segi akhlak, kebaikan dan kecerdikan. Tunangnya pula menonjolkan sifat kepura-puraan lebih hebat lagi. Dia cuba menggambarkan bahawa dialah perempuan idaman dari segi kelembutan, keperempuanan, adad, akhlak dan perangai.
            Bergaul mesra dan berdua-duaan (khalwat) antara pasangan yang bertunang sebelum menikah adalah haram serta tidak diredhai oleh Allah Taala, Sabda Rasulullah :
لاَ يَخْلُوَنَّ رُجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ.
Maksudnya: Tidak boleh sama sekali lelaki berkhalwat dengan seorang perempuan (duduk berdua-duaan secara sunyi), melainkan bersama perempuan itu mahramnya.[9]

Batas utama yang dibolehkan:
1.      Lelaki melihat perempuan pada muka dan dua tapak tangan dan tidak boleh bersentuhan.
2.      Pertemuan yang sopan dan di tempat yang terpelihara daripada gejala sosial dan maksiat.
3.      Pertemuan antara lelaki dan perempuan yang ber­tunang hendaklah ditemani oleh mahramnya supaya batas-batas pergaulan dapat dipatuhi.
4.      Pertemuan itu tidak terlalu kerap sehingga menimbul­kan fitnah.
5.      Islam melarang perlakuan, berdua-duaan, berkhalwat dan bergaul bebas, pergi ke sana ke mari seperti yang berlaku dalam masyarakat hari ini kerana perbuatan itu haram dan boleh mendatangkan banyak keburukan kepada diri, keluarga dan masyarakat.
6.      Kelonggaran yang dibenarkan oleh Islam itu untuk memastikan bahawa bakal suami isteri itu akan dapat meletakkan asas kebahagiaan rumahtangga berdasarkan nilai agama dan kemanusiaan yang tulen, bukan sahaja berdasarkan penilaian nafsu, tetapi dengan penilaian hati yang luhur dan ikhlas, rela dan menerima kehadiran antara kedua­dua belah pihak.
7.      Belum dihalalkan untuk bersama seperti suami isteri
8.      Pertemuan dibuat mestilah ditemani oleh mahramnya untuk mengelakan dari fitnah dan pelanggaran syarat.
90.      Belum bertangungjawab untuk memberi nafkah sebab belum aqad nikah.
1.  Hubungan kekeluargaan masih terbatas seperti antara suami dengan bakal mertua.

Pergaulan Bebas
1.      Islam mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti yang berlaku pada masa sekarang kerana perbuatan itu temiasuk dalam maksiat.
2.      Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi salah satu punca gejala sosial di kalangan remaja dan maksiat yang berleluasa.
3.      Jauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di mana ­mana sahaja supaya terselamat daripada jebak gejala sosial dan maksiat.
4.      Patuhi adab pergaulan yang diizinkan oleh Islam dan jaga maruah sebagai seorang Islam.

Pembatalan Pertunangan[10]
            Kita semua memahami bahawa meminang hanyalah janji untuk mengadakan perkahwinan tetapi bukan akad yang mempunyai kekuatan hokum. Memenuhi janji untuk berkahwin adalah kewajipan bagi kedua belah pihak yang berjanji.
            Agama tidak menetapkan hukuman tertentu bagi pemabtalan (mungkir) tetapi melanggar janji adalah salah satu daripada sifat munafik. Kerana itu, yang harus diteliti di sini ialah apakah peminang itu berhak dan halal ntuk meminta kembali pemberiannya yang pernah ia berikan kepada perempuan yang dipinangnya.
            Pemberian berupa mas kahwin harus dikembalikan kerana mas kahwin adalah dalam rangka perkahwinan. Sebelum perkahwinan berlansung, pihak perempuan berlum berhak meminta mas kahwin, dan ianya wajib dikembalikan kerana mas kahwin itu masih menjadi milik si peminang.
            Adapun hadiah-hadiah yang diberikan dianggap hibah, kerana itu tidak perlu diminta kembali sebab sudah menjadi milik perempuan yang dipinang dan ia sudah boleh memanfaatkannya. Orang yang menuntut kembali pemberiannya bererti mencabul milik orang lain tanpa kerelaannya, perbuatan ini bathil menurut syara’.
            Akan tetapi berbeza apabila peminang memberikan sesuatu untuk ditukarkan dengan barang yang lainnya kemudian yang diberi belum memebri ganti maka ia berhak meminta kembali permberiannya, keran pemberiannya itu dimaksudkan untuk menukar dan apabila perkahwinan tidak berlansung maka ia berhak meminta kembali pemberiannya.
            Dalam masalah ini, para ulama berbeza pendapat. Yang lengkapnya adalah seperti berikut;

1.      Mazhab Hanafi
Ulama Hanafiah berpendapat bahawa barangan yang diberikan oleh pihak lelaki kepada perempuan pinanngannya dapat diminta kembali apabila barangannya masih utuh, misalnya gelang, cincin, rantai, jam tangan dan sebagainya.
Apabila sudah berubah, hilang, dijual atau berubah dengan bertambah atau berkurang, misalnya makanan lantas dimakan atau pakaian kemudian sudah dipotong dan dijahit, maka si lelaki sudah tidak berhak meminta kembali atau meminta ganti rugi barang yang dihadiahkan.

2.      Mazhab Maliki
Ulama Malikiah berpendapat bahawa apabila pembatalan itu datang dari pihak calon suami, maka barang-barang yang pernh ia berikan tidak boleh dituntut kembali, baik pemberian itu masih utuh atau sudah berubah. Apabila pembatalan itu datangnya dari pihak perempuan, pemberiannya boleh diminta kembali, baik pemberian itu masih utuh atau sudah berubah, apabila rosak wajib diganti, kecuali apabila sudah menjadi adat atau syarat, maka adat dan syarat itulah harus diikuti.

3.      Mazhab Syafie
Ulama Syafi’iyyah mengatakan bahawa hadiah harus dikembalikan kepada peminangnya baik pemberiannya masih utuh ataupun sudah berubah, baik pembatatalan itu datangnya dari pihak lelaki mahupun perempuan. Apabila barangannya masih elok, perlu dikembalikan dan jka rosak atau berubah perlu diganti dengan barangan yang sama harganya.
            Demikianlah pendapat-pendapat yang masyhur dalam Islam khususnya mengenai masalah ini. Sedikit kelainan pada pendapat Malikiah yang menjaga perasaan perempuan yang dipinang, yang mana pembatalan itu dating bukan dari pihaknya.


[10] Muhammad Al-Mansur, Hukum Hakam Perkahwinan, Perniagaan Jahabersa, 1998, hlmn. 27-29.



[1] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, 2009, hlmn. 720.
[2] Hj. Jainal Sakiban Al-Jauharni, Kursus Lengkap Perkahwinan, Pustaka Azhar, 2012, hlmn. 36-37.

[3] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, 2009, hlm. 722.
[4] Ibid, hlm. 723.
[5] Riwayat Bukhari dalam kitab nikah, bab seorang manusia menawarkan anak perempuan atau adik beradik perempuannya kepada orang baik.
[6] Riwayat Muslim dalam kitab nikah, bab sunat memandang muka dan dua tapak tangan perempuan bagi sesiapa yang ingin mengahwininya, no. 1424.
[7] http://www.ustaznoramin.com/2011/05/melihat-calon-isteri-yang-ingin.html
[8] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, 2009, hlm. 717.
[9] Riwayat Bukhari dalam kitab nikah, no. 4935 dan Riwayat Muslim dalam kitab Haji, no. 1341.

Friday, October 3, 2014

Nawaitu Saoma Ghodin... ^_^ PuAsA SuNaT

Antara puasa-puasa sunat dan Jenisnya ialah :



Puasa Hari Arafah:

Iaitu pada 9 Zulhijjah. Disunatkan kepada orang yang tidak mengerjakan ibadah haji. 
Dari Abu Qatadah r.a katanya : Rasulullah s.a.w ditanya mengenai puasa Arafah. Sabda Baginda yang bermaksud;

"Ia menghapuskan dosa-dosa tahun yang lalu dan tahun akan datang" (Riwayat Muslim)


Puasa Hari 'Asyura dan Tasu'a:

Asyura ialah pada 10 Muharram manakala Tasu'a  ialah 9 Muharram. Disunatkan bagi orang yang tidak berpuasa Tasu'a bersama 'Asyura agar berpuasa pada hari yang ke-11 nya.
Dari Ibn Abbas r.a

"Rasulullah telah berpuasa pada hari 'Asyura  dan memerintahkan mereka berpuasa padanya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Puasa Hari Isnin dan Khamis

Diriwayatkan oleh at-Tarmizi, daripada Abu Hurairah r.a katanya. Rasulullah s.a.w bersabda;

"Setiap amalan akan dibentangkan pada setiap hari Isnin dan Khamis, maka aku suka agar amalanku dibentangkan dalam keadaan aku berpuasa."


Puasa Tiga Hari Setiap Bulan:

Iaitu pada hari-hari putih (13, 14, dan 15) dalam bulan Qamariah (tahun Hijrah)

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a berkata:

"Kekasihku s.a.w telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat dhuha dan hendaklah berwitir sebelum tidur."


Puasa Enam Hari dalam Bulan Syawal:

Diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abu Ayub r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama-lamanya."



RUJUKAN : Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustifa al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, 2009, Kitab Fiqah Mazhab Syafie,  Penerbit Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Monday, September 29, 2014

Abu Daud Az Zahiri

Pengenalan
Bila kita membaca beberapa kitab kuning seperti Matla’al Badrin, Muniatul Musholli, Sabilal Muhtaden, Bahrul Maazi dan lain-lain, kita pasti akan terjumpa penulis kitab berkenaan akan merujuk juga dengan pandangan mazhab yang telah pupus seperti pandangan Az-Zahiri, Al-Laits, Ishak, As-Sauri dan lain-lain. Kemunculan mazhab-mazhab ini bermula pada awal kurun yang kedua hingga ke kurun yang keempat hijrah. Meskipun mazhab ini telah pupus namun sesetengah pandangan mereka masih dirujuk oleh ulama kemudian dari mereka.[1]

Riwayat Hidup
Nama sebenar beliau adalah Daud ibn Ali ibn Khalaf al-Ashfihani. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Abu Sulaiman al-Zahiri. Beliau dilahirkan di Kufah pada tahun 200 Hijrah(1. Ada pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 202 Hijrah. Pada peringkat permulaannya, Daud al-Zahiri menimba ilmu, berdamping dengan para sahabat, murid Imam Syafi’i serta pernah mengikut mazhab Syafi’i ,bahkan beliau ada mengarang kitab berkenaan dengan manaqib Imam al-Syafie. Mazhabnya di namakan mazhab zahiri kerana beliau berpegang kepad zahir lafaz Al-Quran dan Al-Sunnah. Beliau menolak penggunaan ta’wil dan qias dan penggunaan al-ra’y serta ijtihad yang lain. Oleh itu, dasar mazhabnya adalah nas-nas daripada al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma’ sahaja. Namun begitu, selepas itu beliau meninggalkannya serta mengasaskan mazhab tersendiri. Beliau meninggal dunia pada tahun 270 Hijrah.[2]

Pendidikan
Al-Zahiri pernah dikatakan berhijrah dari Kufah ke Baghdad bagi mempelajari tradisi kenabian dan pentafsiran al-Quran dengan beberapa ulama terkenal pada masa itu, termasuk Abu Thawr, Yahya ibn Ma'in dan Ahmad bin Hanbal.
Pada akhir perjalanan pembelajarannya, al-Zahiri merantau ke Nishapur di Greater Khorasan untuk menamatkan pengajian dengan Ishaq Ibnu Rahawaih, di mana pada masa itu Ibnu Rahawaih dianggap sebagai pakar falsafah Sunni yang tradisionalis. Ibn al-Jawzi menyatakan bahawa, ketika al Zahiri belajar dengan Ibn Rahawaih, beliau bersedia untuk berdebat dengan Ibn Rahawaih mengenai topik-topik agama. Ibn Rahawaih pernah mengkritik Al-Shafie semasa pengajarannya. Perbahasan yang telah berlaku di mana Zahiri mendakwa Ibn Rahawaih tidak memahami titik tolak al-Shafie dalam topik perbincangan tersebut, walaupun Ibnu Hanbal, mengisytiharkan Ibnu Rahawaih menjadi pemenang dalam perbahasan itu.
Selepas menamatkan pengajian di Nishapur, al-Zahiri kembali ke Baghdad dan mula menyampaikan pengajaran sendiri.Walaupun ahli sejarah berbeza pendapat mengenai jumlah sebenar pelajar beliau , tetapi mereka sependapat bahawa antara 400 -500 pelajar yang kerap akan menghadiri Majlis beliau. Reputasi beliau merebak di luar Baghdad, bahkan ulama diperingkat tinggi dari tempat lain juga mula mendapatkan nasihat al-Zahiri mengenai topik agama pengajian. Walaupun pandangannya tidak diterima secara universal, tetapi ketika itu tiada percubaan telah dibuat oleh sezamannya untuk mengelakkan dia daripada memberikan fatwa agama. Pelajar beliau yang paling terkenal ialah anaknya Muhammad bin Dawud al-Zahiri, Abdullah, anak kepada Ibn Hanbal, Muhammad ibn Jarir al-Tabari, Niftawayh dan Ruwaym. Zahiri juga merupakan guru kepada ahli undang-undang awal Abd Allah al-Qaysi, yang bertanggungjawab mengasaskan sekolah Zahirite di Al-Andalus.[3]
Al Zahiri dikatakan telah berguru dengan Imam Syafie rahimahullah taala dan juga telah berguru dengan Abu Tsaur serta para imam yang lain.  Pada mulanya beliau terlalu fanatik dengan Imam Syafie, tetapi beliau telah mengasaskan mazhab beliau yang tersendiri yang dinamakan mazhab Az-Zahiri. Hal ini dikatakan beliau sedikit sebanyak terpengaruh dengan Ibn Rahawiah.[4] Beliau menamakan mazhabnya sebagai mazhab Zahiri kerana beliau mengambil nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah secara zahir,yang mana jika tiada sebarangnya dalil dari keduanya yang menunjukkan ianya bukan secara zahir,ataupun tiadanya sebarang ijmak yang bercanggah dengan nas yang dipandang secara  zahir tersebut.
Imam Daud az Zahiri amat berpegang dengan firman Allah Taala ini : “Jika kalian berselisih terhadap sesuatu maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan RasulNya” (surah An-Nisa’ : 59) bahkan telah menjadikan ayat Allah ini sebagai asas utama mazhabnya. Oleh kerana itu, beliau amat  berpegang dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dan Ijmak para ulama’ ummah. Beliau menolak pada beramal dengan hujah Al-Qiyas dan Al-Istihsan dan juga dalil-dalil syarak yang lain.[5]
Beliau juga boleh dikategorikan sebagai penghafaz hadith nabi dan juga merupakan imam yang tersangat berpegang dengan dalil dari As-Sunnah, bahkan terlalu fanatik di dalam mengambilnya sebagai dalil hukum syarak. Dikatakan juga beliau merupakan imam yang sangat faqih, mujtahid. Mazhab beliau ini telah tersebar luas di Baghdad dan juga di Andalus,yang mana Al-Faqih Ali Bin Ahmad Bin Said Bin Hazm Al-Andalusi merupakan imam yang telah menyebarkan mazhabnya ini di sana bahkan telah mempertahankan mazhab ini dan telah mengarang betapa banyaknya kitab-kitab di dalam mazhab tersebut.
Diantara kitab yang terpenting di dalam mazhab ini adalah kitab Al-Muhalla iaitu sebuah kitab Fiqh, dan begitu juga kitab Al-Ihkam Fi Usulil Ahkam iaitu sebuah kitab di dalam Ilmu Usul Fiqh.
Walaupun mazhab beliau ini tersebar luas dan betapa ramainya pengikut yang  telah mengikuti beliau,tetapi mazhab ini juga tidaklah bertahan lama dan telah mulai pupus semenjak daripada kurun kelima hijrah lagi,dan telah pupus terus mulai dari kurun kelapan hijrah dan tidak berbaki langsung mazhabnya ini melainkan hanyalah berupa pendapat-pendapat yang terdapat di kitab-kitab
  
Mazhab Az-Zahiri[6]
Dasar Mazhab Zahiri
Pembinaan dan asas utama mazhab Zahiri ialah berdasarkan dalil sebagaimana berikut, iaitu:-
1.      Al-Qur’an
Dimana usul mazhab tersebut ialah zahir nas-nas yang dipetik daripada al-Qur’an. Hujah serta alasan yang dikemukan oleh beliau kerana segala-segalanya telah lengkap dan dijelaskan di dalam al-Qur’an. Iaitu sama ada penjelasan secara langsung daripada al-Quran itu sendiri atau ia dijelaskan menerusi hadis. Erti kata lain, mereka beramal dengan lafaz zahir yang terbentuk daripada nas-nas al-Qur’an dan Hadis selagi tidak ada apa-apa dalil atau pertunjuk lain yang membolehkan ia diabaikan atau ditinggalkan.
Menurut mazhab al-Zahiri juga, segala lafaz suruhan membawa erti wajib, melainkan jika terdapat dalil lain atau nas lain yang menunjukkan sebaliknya. Antara dasar dan pegangan mereka ialah firman Allah:-
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ  …
Terjemahan: Kemudian jika kamu berbantah-bantah( berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada(Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) rasul-Nya.
                    (Surah An-Nisa’: 59)

2.      Hadis
Selain daripada itu juga, usul mazhab tersebut juga ialah zahir nas-nas yang dipetik daripada Hadis. Dimana hadis dengan al-Qur’an saling lengkap melengkapi dan mejelaskan terhadap sesetengah hukum yang perlu penjelasan. Antara lain mereka berhujah dengan sabda Baginda: (2)
ذروني ما تركتكم فانما هلك من كان قبلكم بكثرة سؤالهم واختلافهم على أنبيائهم فاذا امرتكم بسيء فأتوامنه ما استطعتم واذا نهيتكم عن شيء فدعوه
Maksudnya: Tinggalkan (dari bertanyakan kepadaku) sesuatu yang telah aku tinggalkan pada kamu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu disebabkan mereka banyak pertanyaan terhadap nabi-nabi mereka. Apabila daku perintahkan sesuatu terhadap kamu, lakukanlah semampu kamu. Kiranya pula daku menegah terhadap kamu, maka jauhilah ia.
                                                                                              (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Untuk itu, apa sahaja yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W. atau ditegah oleh Baginda, ia membawa erti tidak wajib serta tidak haram. Justeru, hukumnya menjadi harus. Untuk itu, tidak perlu kepada apa-apa dalil lain lagi, seperti: al-Qiyas atau lainnya.

3.      Ijma’
Mazhab al-Zahiri hanyalah bertindak menerima ijma’ sebagai sumber perundangan ketika mana ketiadaan atau waktu tidak ada nas sahaja. Seterusnya pula, penerimaan Ijma’ itu dengan berdasarkan syarat tertentu pula. Iaitu ia mestilah hasil persepakatan dari seluruh ulama’ dan mujtahid yang ada, bukannya persepakatan golongan dan di wilayah tertentu sahaja. Justeru, berdasarkan syarat yang amat ketat sebegitu seolah-olah menunjukkan bahawa mazhab al-Zahiri bertindak menolak berhujah dengan ijma’.

4.      Ijtihad
Seterusnya beliau membuka ruang atau pintu ijtihad, tetapi bertindak menolak segala sumber perundangan al-Ra’yi lain, iaitu: al-Qiyas, al-Istihsan, dan selain daripada keduanya.
Sebagai rumusannya, dasar serta kaedah istinbat hukum yang digunakan oleh mazhab al-Zahiri banyak membuka ruang atau tidak banyak memberi kelonggaran. Untuk itu, dasar mereka banyak membawa percanggahan dengan jumhur imam mazhab Sunni lain.
  
Fiqh Mazhab al-Zahiri
Antara Fiqh dalam mazhab al-Zahiri yang dapat dikemukakan disini ialah:
       I.            Tidak jatuh talak melainkan dengan salah satu daripada tiga lafaz tersebut sahaja, iaitu: al-Talak (الطلاق) al-Tasrih, dan al-Firaq. Dimana selain daripada tiga lafaz tersebut dikira tidak jatuh talak, biarpun diniatkan atau tidak diniatkan. Untuk itu, ia menunjukkan bahawa talak secara sindiran atau kinayah tidak membawa apa-apa kesan hukum menurut mereka.

    II.            Talak tidak harus sama sekali dilakukan secara perwakilan. Untuk itu, talak yang dilakukan secara bertulis atau surat tidak membawa apa-apa kesan.

 III.            Jual beli, talak dan rujuk mestilah dilaksanakan dengan bersaksi. Ia dikira tidak sah jika berlangsung tanpa saksi yang adil.

 IV.            Wajib terhadap isteri berharta atau kaya memberi nafkah atau membantu mengurangkan beban suaminya yang susah dan miskin.

    V.            Perkahwinan pertama atau akad perkahwinan buat pertama kali adalah wajib hukumnya. Mereka berpendapat demikian dengan berdasarkan dalil perintah yang bererti wajib. [7]

 VI.            Riba
Al-Zahiri berpendapat bahawa dalam sistem pertukaran barang, jenis larangan riba terpakai hanya enam komoditi seperti yang ditentukan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam. Oleh kerana al-Zahiri menolak penggunaan pemikiran beranalogi dalam perundangan, beliau tidak bersetuju dengan pandangan majoriti bahawa larangan pada keuntungan berlebihan dalam barangan pertukaran semua komoditi, dan tidak menganggap keuntungan itu menjadi suatu bentuk faedah. Kalaulah Nabi Muhammad bertujuan untuk memasukkan komoditi lain dari di atas enam, dia boleh berbuat demikian; kerana dia dinyatakan riba yang dilarang dalam hanya enam komoditi dan bahawa umat Islam bebas untuk berurusan dalam komoditi lain yang mereka suka, al-Zahiri melihat tiada asas untuk membuat analogi kepada mana-mana komoditi lain.

VII.            Pakaian Perempuan
Menurut al-Shawkani, al-Zahiri menganggap purdah hanya disyorkan di dalam Islam dan bukannya wajib. Mengatakan bahawa wajah wanita boleh diperlihatkan di khalayak ramai tetapi semua bahagian badan lain mesti dilindungi. Hala ini bersamaan dengan pendapat Ibn Hanbal juga.

VIII.            Perjalanan / Musafir
Jika seorang muslim memulakan perjalanan atau musafir ketika berpuasa pada bulan Ramdhan, al-Zahiri berpendapat bahawa individu harus berbuka puasa pada hari yang mana mereka memulakan perjalanan, sama seperti pandangan Ibn Hanbal dan Ibn Rahwaih. Hal ini dibuktikan oleh ayat al-Quran yang membolehkan pemusafir berbuka puasa ketika musafir dan menqadakan puasa tersebut pada hari lainnya. Tetapi menurut al-Zahiri bahawa hal ini merupakan sebuah perintah bukan ayat peruntukan semata-mata.[8]

Pendokong Mazhab al-Zahiri[9]
Mazhab al-Zahiri pernah disebarkan dan serta dikembangkan oleh anaknya Muhammad ibn Daud (m.297H) . Selepas itu ia dikembangkan pula oleh Ibn al-Mughallis (m.324H). Namun begitu, antara mereka yang terkenal serta banyak mendokong ke arah penyebaran mazhab al-Zahiri ialah Ibn Hazm al-Zahiri. Nama sebenar beliau ialah Abu Muhammad Ali Ibn Ahmad Ibn Sa’id Ibn Hazm, yang telah meninggal dunia pada tahun 456 Hijrah.
Ibn Hazm merupakan seorang ulama yang pakar dalam semua bidang di Andalus. Beliau bertungkus lumus menyebarkan dan mengembangkan mazhab tersebut dan mempertahankannya dengan mengarang kitab khusus, antaranya adalah:
a.       Kitab al-hakam fi usul al-ahkam yang berkaitan dengan usul al-Fiqh serta dibukukan dalam lapan juzu’.

b.      Kitab al-Nubaz al-Fiqh al-Zahiri

c.        Kitab al-Mahalla fi Furu’ al-Fiqh. Ia merupakan kitab yang berkaitan dengan Fiqh serta dibukukan dalam sebelas juzu’

d.      Kitab al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ fi al-Nihal.
Di dalam kitab al-Mahalla beliau menyebut pandangan-pandangan mazhab al-Zahiri dan menolak pandangan yang bercanggah denganya. Ibn Hazm terkenal sebagai seorang yang keras ketika menolak pandangan orang lain dan ketika berdebat. Beliau juga memberi gelaran yang buruk terhadap orang yang bercanggah denganya. Oleh itu, beliau di pandang aib oleh para ulama. Namun ini tidak menghalang kita daripada mendapat manfaat daripada kitab dan ilmunya yang luas itu. Dalam kitab al-hakam fi usul al-ahkam beliau menjelaskan tentang dasar-dasar mazhab al-zahiryy, mendebat pendapat yang bercanggah dengannya dan menyebut dalil-dalil yang menyokong pendapatnya.

Sumbangan Daud Zahiri[10]
Pada peringkat awal sahaja, mazhab al-Zahiri mendapat sambutan, namun pada kurun kelima hijrah ia menjadi merosot dan pada kurun kelapan mazhab tersebut telah lenyap sama sekali. Di mana kesan tinggalan serta dasar mereka hanya termaktub dalam kitab-kitab Fiqh sahaja. Mazhab al-Zahiri tersebut sebelumnya pernah tersebar di Baghdad, Iraq serta Parsi. Seterusnya Mazhab tersebut juga diikuti oleh segelintir masyarakat di Afrika dan Andalus. Untuk menyebarkan alirannya, Daud al-Zahir telah mengarang beberapa buah kitab berdasarkan bab Fiqh, antaranya yang utama adalah: Kitab Ibtal al-Taqlid, Kitab Ibtal al-Qiyas, Khabar al-Wahid, Kitab al-Mujib Li al-‘Ilm, Kitab al-Hujjah serta Kitab al-Mufassir wa al-Mujmal.

Akhir Hayat
Al-Zahiri meninggal dunia pada bulan Ramadan di Baghdad, di mana ia dikebumikan. Tahun yang tepat beliau meninggal dunia mengikut menjadi pertikaian ahli-ahli sejarah Terdapat ahli sejarah yang mengatakan beliau meninggal dunia mengikut kalendar Gregorian pada 883 CE dan 884 CE.[11]



[1] http://ibnnajib.blogspot.com/2011/12/mazhab-ahlu-sunnah-yang-pupus-mazhab-az_30.html
[2] http://al-aarifbillah.blogspot.com/2011/06/mazhab-mazhab-sunni-yang-sudah-tidak.html
[3] http://en.wikipedia.org/wiki/Dawud_al-Zahiri
[4] http://en.wikipedia.org/wiki/Dawud_al-Zahiri
[5] http://alhammasiyy.wordpress.com/laman-sejarah-imam/mazhab-mazhab-yang-pupus/
[6] http://al-aarifbillah.blogspot.com/
[7] http://al-aarifbillah.blogspot.com/
[8] http://en.wikipedia.org/wiki/Dawud_al-Zahiri
[9] http://al-aarifbillah.blogspot.com/
[10] http://al-aarifbillah.blogspot.com/
[11] http://en.wikipedia.org/wiki/Dawud_al-Zahiri