Wednesday, October 21, 2015

MEMINANG...


Pengertian Meminang
Apabila seorang lelaki benar-benar tertarik dengan sifat-sifat baik seorang wanita serta timbul keinginan untuk berkahwin setelah melihat wanita, kini tibalah masa untuk meminang.
Meminang bermaksud seseorang lelaki menyatakan keinginannya untuk berkahwin kepada wanita yang ingin dikahwininya.[1]

-google image-

Hukum Meminang
1.      Dihalalkan meminang secara tasrih (terus terang) atau ta’ridh (membayangkan):-
a.       Jika perempuan itu bukan isteri orang;
b.      Tidak berada dalam iddah; dan
c.       Bukan perempuan yang haram dinikahi.
2.      Dihalalkan meminang secara ta’ridh (membayangkan):-
a.       Jika perempuan yang ingin dikahwini berada dalam iddah kematian suami; atau
b.      Iddah disebabkan talak bain.
Hal ini berpandukan al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 235:
 Maksudnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang      (Al-Baqarah : 235)
3.      Diharamkan meminang secara tasrih atau ta’ridh selain daripada dua keadaan diatas. Oleh itu haram meminang;
a.       Perempuan yang masih bersuami;
b.      Semua perempuan yang aharam dinikahi sama ada haram untuk selamanya atau haram untuk sementara waktu;
c.       Perempuan yang masih dalam talak raj’ie, kerana masih bergelar isteri dan suaminya berhak untuk kembali rujuk kepadanya.[2]

Maksud pinangan secara tasrih  ( :تصريحterus terang) dan ta’ridh ( :تعريضmembayangkan)
1.      Tasrih  ( :تصريحterus terang):
Lafaz tasrih ialah lafaz yang hanya mempunyai satu tafsiran sahaja iaitu keinginan untuk berkahwin. Lafaz tasrih adalah seperti; “aku ingin mengahwini kamu” atau “selepas habis iddahmu, aku akan mengahwinimu”

2.      Ta’ridh ( :تعريضmembayangkan):
Lafaz ta’ridh ialah lafaz ayang boleh ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran, sama ada sebagai keinginan untuk berkahwin atau sebaliknya, seperti; “awak cantik,” atau “ramai orang sukakan awak” atau seumpamanya.

Haram Meminang Perempuan yang telah Dipinang
Adalah haram meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain sekiranya pinangan tersebut diterima. Tetapi terdapat beberapa keadaan yang dibolehkan iaitu:
1.      Peminangan boleh dilakukan sekiranya lelaki pertama memberikan keizinan kepada lelaki yang kedua untuk meminang.
2.      Sekiranya pinangan lelaki pertama tidak dijawab (tidak diketahui sama ada pinangannya diterima atau tidak), pinangan lelaki kedua adalah diharuskan.
Sekiranya seorang lelaki meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain dan kemudiannya lelaki kedua menikahi perempuan tersebut, akad nikahnya tetap sah. Walaupun begitu dia tetap menaggung dosa atas perbuatannya meminang perempuan yang telah dipinang.[3]
Dalil pengharaman meminang perempuan yang telah dipinang adalah berdasarkan hadis Rasulullah :
وَلاَ يَخْطُبَ الرِّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ ألخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يأْذَنُ لَهُ أللخَاطِبُ.
“Seseorang lelaki tidak boleh meminang seseorang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya (saudara seagama) sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan peminangan) atau dia mengizinkan peminangan itu.”
(Riwayat Bukhari : no. 4848, Muslim : no. 1412), Kitab Fikah Mazhab Syafie, 2002, hal. 4/611-613.

Wali Menawarkan Perempuan Jagaannya kepada Lelaki Soleh dan Bertaqwa
            Wali disunatkan menawarkan perempuan di bawah jagaannya kepada lelaki soleh dan bertaqwa. Ini dicontohi daripada tindakan Nabi Syuib a.s.. Beliau menawarkan anaknya supaya dikahwini Nabi Musa a.s. meyakini sifat amanah dan kesucian Nabi Musa a.s. . Firman Allah Taala dalam menceritakan kisah ini:[4]

Maksudnya : “Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Kita juga mengambil contoh dengan perbuatan Saidina Umar al-Khattab ketika beliau menawarkan anaknya kepada Saidina Abu Bakar. Mereka berdua menolak dan ia dikahwini oleh Nabi .[5]

Melihat Bakal Isteri
            Di antara perkara sunat yang digalakkan oleh Islam ialah seseorang lelaki melihat perempuan yang ingin dikahwininya sebelum peminangan. Ini disunatkan jika lelaki tersebut benar-benar berniat untuk mengahwininya dan berharap peminangannya akan diterima. Syarak membenarkan lelaki tersebut melihatnya tanpa dia tidak berhiasa terlebih dahulu. Jika perempuan tersebut berhias, tujuan melihat tidak tercapai.
            Lelaki tersebut boleh melihat bakal tunangnya dua atau tiga kali jika dia perlu melihat keadaan wanita tersebut dengan leih jelas lagi. Ini kerana biasanya, matlamat yang dikehendaki tidak tercapai dengan sekali pandang.
            Abu Hurairah r.a. berkata :
Ketika aku berada bersama Nabi , baginda didatangi seorang lelaki dan memberitahu dia berkahwin dengan seorang perempuan Ansor . Nabi bertanya,: “Adakah kamu telah melihat perempuan itu?” Beliau menjawab: “Tidak.” Nabi bersabda: “ Pergi dan lihatlah perempuan itu kerana sesungguhnya mata orang-orang Ansor itu berbeza dengan mata orang lain ( yang dia mungkin tidak berkenan).”[6]
Wanita juga berhak melihat lelaki jika ingin berkahwin dengan lelaki tersebut supaya dia boleh melihat keadannya dengan lebih jelas  agar tidak menyesal selepas berkahwin. Sesungguhnya perempuan juga tertarik denga beberapa sifat seseorang lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa sifat seseorang perempuan.

Batas-batas Seorang Lelaki Melihat Bakal Isterinya
            Terdapat perbezaan pendapat mengenai bahagian yang boleh dilihat dari wanita yang dilamar. Jumhur ulama berpendapat bahawa seorang pelamar dibolehkan melihat wajahnya dan kedua tapak tangannya saja, kerana bahagian-bahagian tersebut bukan termasuk aurat.
Pendapat berkenaan Melihat Bakal Isteri[7]
1.      Al-Auza'i berpendapat, bahawa dia boleh melihat bahagian-bahagian daging.
2.      Daud az-Zahiri mengemukakan :
"Dibolehkan melihat seluruh bahagian tubuh wanita tersebut."
Yang terakhir ini jelas ditolak kerana bertentangan dengan sebuah ayat dalam surah An-Nur;
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak darinya." (An-Nur: 31)

Bahagian-bahagian yang biasa nampak selain wajah, misalnya dua tapak tangan dan kaki serta yang seumpamanya yang biasa nampak pada wanita di rumahnya, maka terdapat dua pendapat :
Pertama ; tidak diperbolehkan melihatnya, kerana perkara itu merupakan aurat. Bahagian-bahagian tersebut tidak boleh dilihat sebagaimana bahagian-bahagian yang tidak nampak. Abdullah bin Mas'ud pernah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Wanita itu adalah aurat." Kerana yang diperlukan adalah melihat wajah dan bahagian-bahagian lainnya tetap haram untuk dilihat.
Kedua ; dibolehkan baginya melihat bahagian-bahagian tersebut. Imam Ahmad mengatakan, "Dibolehkan untuk melihat bahagian-bahagian yang diperlukan untuk tujuan perkahwinan seperti tangan, badan dan lain-lain." Abu Bakar, seorang pengikut mazhab Hanbali, mengatakan, "Pada saat melamar, dibolehkan baginya melihat bahagian-bahagian yang sudah biasa terlihat ketika bekerja, seperti: kepala, leher, lengan dan bahagian bawah kedua betis."

Pendapat Jumhur Ulama dan Iman Syafie
Sedangkan Imam Syafie mengemukakan, "Dia hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tapak tangan saja."
Seseorang lelaki tidak diharuskan melihat bakal tunangnya melainkan muka dan tapak tangannya (depan dan belakang). Muka dan tapak tangan adalah anggota zahir seperti yang  difirman oleh Allah Taala dalam suran An-Nur ayat 31.
Hikmat pandangan hanya dihadkan kepada muka dan tapak tangan sahaja ialah kerana muka menunjukkan kecantikan dan tapak tangan memperlihatkan kesuburan badan dan kelembutannya.
Sekiranya seseorang lelaki itu tidak berpeluang melihatnya sendiri, dia boleh menghantar seorang wanita untuk melihat dan menceritakan sifat-sifat wanita tersebut kepadanya. Rasulullah s.a.w pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang wanita dan Baginda s.a.w berkata kepadanya: “Lihatlah kedua-dua ketingnya dan ciumlah bau badannya.”
Difahami daripada hadith di atas, perempuan yang dihantar oleh lelaki untuk melihat bakal tunangnya boleh melihat lebih daripada apa yang boleh dilihat oleh lelaki itu sendiri maka matlamat atau faedahnya tentu lebih banyak lagi.[8]

Sunat-Sunat Meminang
Orang yang meminang atau wakilnya disunatkan berkhutbah sebelum meminang dan sebelum akad. Khutbah dimulakan dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi kerana Rasulullah bersabda:
كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَيُبْدَأُ فِيهِ بِحَمْدِ الله ، فَهُوَ أَبْتَرُ.
Maksudnya: “Semua perkara yang ada nilainya tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Kemudian dia hendaklah berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dan barulah melahirkan keinginannya sambil berkata: “Kami datang untuk meminang anak kamu.”
Wali perempuan juga disunatkan berkhutbah yang dimulai dengan memuji Allah dan berselawat serta berpesan supaya bertaqwa, lalu berkata : “Saya terima pinangan kamu.”
Walaubagaimanapun khutbah sebelum akad nikah lebih ditekankan berbanding khutbah sebelum meminang kerana ianya ia dilakukan oleh para salafussoleh r.a.

Batas Pergaulan di dalam Pertunangan
            Menjadi amalan dalam masyarakat Islam yang jauh dari roh Islam, selepas majlis pertunangan diadakan, pasangan lelaki dan perempuan yang bertunang mula bergaul mesra, berdua-duaan dan berkhalwat. Mereka mendakwa tindakan tersebut membolehkan mereka saling mengenali  dan mengetahui akhlak dan tabiat masing-masing. Sedangkan lubuk hati lelaki tersebut mengakui bahawa dia tidak mampu walaupun sedikit untuk menyingkap hakikat sebenar akhlak tunangnya.
            Ini kerana dia sendiri sentiasa berfikir untuk berpura-pura di hadapan tunangnya bahawa dialah lelaki yang diidan-idamkan dari segi akhlak, kebaikan dan kecerdikan. Tunangnya pula menonjolkan sifat kepura-puraan lebih hebat lagi. Dia cuba menggambarkan bahawa dialah perempuan idaman dari segi kelembutan, keperempuanan, adad, akhlak dan perangai.
            Bergaul mesra dan berdua-duaan (khalwat) antara pasangan yang bertunang sebelum menikah adalah haram serta tidak diredhai oleh Allah Taala, Sabda Rasulullah :
لاَ يَخْلُوَنَّ رُجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ.
Maksudnya: Tidak boleh sama sekali lelaki berkhalwat dengan seorang perempuan (duduk berdua-duaan secara sunyi), melainkan bersama perempuan itu mahramnya.[9]

Batas utama yang dibolehkan:
1.      Lelaki melihat perempuan pada muka dan dua tapak tangan dan tidak boleh bersentuhan.
2.      Pertemuan yang sopan dan di tempat yang terpelihara daripada gejala sosial dan maksiat.
3.      Pertemuan antara lelaki dan perempuan yang ber­tunang hendaklah ditemani oleh mahramnya supaya batas-batas pergaulan dapat dipatuhi.
4.      Pertemuan itu tidak terlalu kerap sehingga menimbul­kan fitnah.
5.      Islam melarang perlakuan, berdua-duaan, berkhalwat dan bergaul bebas, pergi ke sana ke mari seperti yang berlaku dalam masyarakat hari ini kerana perbuatan itu haram dan boleh mendatangkan banyak keburukan kepada diri, keluarga dan masyarakat.
6.      Kelonggaran yang dibenarkan oleh Islam itu untuk memastikan bahawa bakal suami isteri itu akan dapat meletakkan asas kebahagiaan rumahtangga berdasarkan nilai agama dan kemanusiaan yang tulen, bukan sahaja berdasarkan penilaian nafsu, tetapi dengan penilaian hati yang luhur dan ikhlas, rela dan menerima kehadiran antara kedua­dua belah pihak.
7.      Belum dihalalkan untuk bersama seperti suami isteri
8.      Pertemuan dibuat mestilah ditemani oleh mahramnya untuk mengelakan dari fitnah dan pelanggaran syarat.
90.      Belum bertangungjawab untuk memberi nafkah sebab belum aqad nikah.
1.  Hubungan kekeluargaan masih terbatas seperti antara suami dengan bakal mertua.

Pergaulan Bebas
1.      Islam mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti yang berlaku pada masa sekarang kerana perbuatan itu temiasuk dalam maksiat.
2.      Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi salah satu punca gejala sosial di kalangan remaja dan maksiat yang berleluasa.
3.      Jauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di mana ­mana sahaja supaya terselamat daripada jebak gejala sosial dan maksiat.
4.      Patuhi adab pergaulan yang diizinkan oleh Islam dan jaga maruah sebagai seorang Islam.

Pembatalan Pertunangan[10]
            Kita semua memahami bahawa meminang hanyalah janji untuk mengadakan perkahwinan tetapi bukan akad yang mempunyai kekuatan hokum. Memenuhi janji untuk berkahwin adalah kewajipan bagi kedua belah pihak yang berjanji.
            Agama tidak menetapkan hukuman tertentu bagi pemabtalan (mungkir) tetapi melanggar janji adalah salah satu daripada sifat munafik. Kerana itu, yang harus diteliti di sini ialah apakah peminang itu berhak dan halal ntuk meminta kembali pemberiannya yang pernah ia berikan kepada perempuan yang dipinangnya.
            Pemberian berupa mas kahwin harus dikembalikan kerana mas kahwin adalah dalam rangka perkahwinan. Sebelum perkahwinan berlansung, pihak perempuan berlum berhak meminta mas kahwin, dan ianya wajib dikembalikan kerana mas kahwin itu masih menjadi milik si peminang.
            Adapun hadiah-hadiah yang diberikan dianggap hibah, kerana itu tidak perlu diminta kembali sebab sudah menjadi milik perempuan yang dipinang dan ia sudah boleh memanfaatkannya. Orang yang menuntut kembali pemberiannya bererti mencabul milik orang lain tanpa kerelaannya, perbuatan ini bathil menurut syara’.
            Akan tetapi berbeza apabila peminang memberikan sesuatu untuk ditukarkan dengan barang yang lainnya kemudian yang diberi belum memebri ganti maka ia berhak meminta kembali permberiannya, keran pemberiannya itu dimaksudkan untuk menukar dan apabila perkahwinan tidak berlansung maka ia berhak meminta kembali pemberiannya.
            Dalam masalah ini, para ulama berbeza pendapat. Yang lengkapnya adalah seperti berikut;

1.      Mazhab Hanafi
Ulama Hanafiah berpendapat bahawa barangan yang diberikan oleh pihak lelaki kepada perempuan pinanngannya dapat diminta kembali apabila barangannya masih utuh, misalnya gelang, cincin, rantai, jam tangan dan sebagainya.
Apabila sudah berubah, hilang, dijual atau berubah dengan bertambah atau berkurang, misalnya makanan lantas dimakan atau pakaian kemudian sudah dipotong dan dijahit, maka si lelaki sudah tidak berhak meminta kembali atau meminta ganti rugi barang yang dihadiahkan.

2.      Mazhab Maliki
Ulama Malikiah berpendapat bahawa apabila pembatalan itu datang dari pihak calon suami, maka barang-barang yang pernh ia berikan tidak boleh dituntut kembali, baik pemberian itu masih utuh atau sudah berubah. Apabila pembatalan itu datangnya dari pihak perempuan, pemberiannya boleh diminta kembali, baik pemberian itu masih utuh atau sudah berubah, apabila rosak wajib diganti, kecuali apabila sudah menjadi adat atau syarat, maka adat dan syarat itulah harus diikuti.

3.      Mazhab Syafie
Ulama Syafi’iyyah mengatakan bahawa hadiah harus dikembalikan kepada peminangnya baik pemberiannya masih utuh ataupun sudah berubah, baik pembatatalan itu datangnya dari pihak lelaki mahupun perempuan. Apabila barangannya masih elok, perlu dikembalikan dan jka rosak atau berubah perlu diganti dengan barangan yang sama harganya.
            Demikianlah pendapat-pendapat yang masyhur dalam Islam khususnya mengenai masalah ini. Sedikit kelainan pada pendapat Malikiah yang menjaga perasaan perempuan yang dipinang, yang mana pembatalan itu dating bukan dari pihaknya.


[10] Muhammad Al-Mansur, Hukum Hakam Perkahwinan, Perniagaan Jahabersa, 1998, hlmn. 27-29.



[1] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, 2009, hlmn. 720.
[2] Hj. Jainal Sakiban Al-Jauharni, Kursus Lengkap Perkahwinan, Pustaka Azhar, 2012, hlmn. 36-37.

[3] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, 2009, hlm. 722.
[4] Ibid, hlm. 723.
[5] Riwayat Bukhari dalam kitab nikah, bab seorang manusia menawarkan anak perempuan atau adik beradik perempuannya kepada orang baik.
[6] Riwayat Muslim dalam kitab nikah, bab sunat memandang muka dan dua tapak tangan perempuan bagi sesiapa yang ingin mengahwininya, no. 1424.
[7] http://www.ustaznoramin.com/2011/05/melihat-calon-isteri-yang-ingin.html
[8] Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam, 2009, hlm. 717.
[9] Riwayat Bukhari dalam kitab nikah, no. 4935 dan Riwayat Muslim dalam kitab Haji, no. 1341.

No comments:

Post a Comment